Politik Pop

Tuesday, June 09, 2009

Lubnan dan Politik Kuasa Asing

Kumpulan 14 Mac, diketuai Saad al-Hariri, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Mesir mencapai kemenangan selesa dalam pilihan raya Parlimen Lubnan 7 Jun lalu.

Kumpulan 8 Mac yang mendapat sokongan Syria dan Iran tidak mendapat kemenangan seperti yang dijangka. Ada satu laporan berita tidak lama dulu menyebut Hizbullah mahukan kemenangan bagi kerusi yang ditandingi, tetapi tidak mahu sehingga menguasai kerajaan untuk mengelakkan reaksi keras negara-negara penentang.

Walaupun sokongan Syria dan Iran kuat kepada Hizbullah, Syria kini terpaksa lebih berhati-hati kerana ia dalam proses memulihkan hubungan dengan AS. Sokongan kuat kepada Hizbullah boleh mengganggu proses itu, walaupun sokongan masih diberikan untuk digunakan sebagai alat menangani pengaruh Israel, sesuatu yang juga dilakukan oleh Iran.

Dua negara serantau yang mungkin paling mendapat manfaat ialah Arab Saudi dan Mesir yang tidak mahu kemenangan pembangkang di Lubnan melimpahkan semangat kepembangkangan ke dalam wilayah mereka, selain persaingan berzaman Sunni dengan Syiah. Arab Saudi dan Mesir ialah penjaga dominasi Arab dan Sunni di Asia Barat dan tidak mahu pengaruh Iran dan Syiah menggugat pengaruh mereka. Hariri ialah keluarga berasal Arab Saudi.

Pembahagian pro-Barat dan pro-Syria sebenarnya tidak sepenuhnya tepat dan hanya untuk menunjukkan pembahagian politik secara umum. Menurut Ibrahim Mousawi, jurucakap Hizbullah dalam satu wawancara pada 2007, "Kami tidak akan menerima kedatangan pengaruh AS. Pemergian Syria memberi peluang Lubnan menubuhkan kerajaan dan negara yang bebas, bukan menerima pengaruh AS atau kuasa asing yang ingin mengambil kesempatan menegaskan pengaruh mereka.

"Hari ini pihak asing masih cuba mempengaruhi Lubnan dengan cara mempengaruhi kumpulan-kumpulan yang ingin memegang kuasa dan boleh dipengaruhi."

Hizbullah menerima bantuan Syria dan Iran tetapi tidak mahu Damsyik dan Tehran menentukan tindakan politik Hizbullah dan berperanan besar dalam politik Lubnan. Kejayaan utama Hizbullah ialah menjadikan gerakannya gerakan masa yang bebas dan popular, tanpa meletakkan kepentingan yang terlalu besar pada politik pilihan raya. Hizbullah berperanan bukan melalui mendapatkan dominasi, tetapi dengan cara menjadikan dirinya indispensable dalam politik Lubnan, walau siapapun yang mendapat majoriti.



Labels: ,

Wednesday, May 27, 2009

Malaysia yang Lagi Satu

Di satu lokasi di Kuala Lumpur beberapa minggu lalu, sekumpulan aktivis feminis, penjual buku-buku agama Islam, pemblog dan aktivis budaya pop Melayu, isteri pegawai kedutaan Barat, pemuzik Melayu tradisional dan aktivis gay bertemu dan mengadakan aktiviti bersama
selama dua hari. 

Peristiwa ini terjadi di Annexe, Pasar Seni, di tempat yang membenarkan pluralisme ini berlaku, tanpa mana-mana pihak menunjukkan rasa tersinggung, walaupun wujud sempadan-sempadan tertentu, terutama melibatkan mereka 
yang bergiat dalam bahasa Melayu dengan yang bergiat 
dalam bahasa Inggeris. 

Pesta buku yang dinamakan alternatif ini jelas sekali berbeza dengan pesta buku establishment di PWTC, dan ini sememangnya tujuan pihak penganjur. 

Cuma terlihat unsur-unsur superiority tipikal kumpulan antiestablishment di sini, sejak penganjuran beberapa tahun lalu, dengan menggambarkan di sini lebih cool, tanpa longgokan buku 
teks, novel-novel cinta Melayu dan sebagainya.

Tapi di sini juga tidak ada buku terbitan Routledge, Oxford dan Johns Hopkins.

Di sini juga dapat dilihat kebangkitan elemen yang terpinggir selama ini, dengan hasil-hasil tulisan dan kerja seni yang sebahagian besarnya berkualiti dan mempunyai personaliti tersendiri, iaitu bukan yang dihasilkan secara besar-besaran dan kelihatan serupa semuanya.

Kumpulan pemblog dan aktivis seni Melayu Sindiket Sol-Jah menunjukkan pengikut mereka yang ramai, dengan hasil tulisan yang berperisa pop yang menarik, dan tanpa elemen pretentiousness, yang ada kalanya menjangkiti kumpulan yang mula membina pengikut.


Di sini dapat dilihat wacana balas kepada wacana establishment yang dapat diperhatikan di mana-mana. Penerbit buku SIRD, yang banyak menerbitkan dan menjual buku-buku berhaluan kiri yang mungkin akan dilihat sebagai menyebarkan propaganda komunis oleh establishment.

Perkembangan ini mungkin sesuatu yang tidak akan dapat difahami penguasa, dan akan terus melihatnya sebagai penyakit dan bukan sebahagian perkembangan biasa sesebuah negara. Apa yang dilihat di sini mewakili kumpulan-kumpulan yang pelbagai dalam negara ini yang mencari ruang berpartisipasi.

Selain itu, pesta buku dan seni selama dua hari itu juga memberi gambaran persaingan yang lebih sengit dalam wacana budaya dan politik negara pada masa depan.


Labels: , , , , ,

Monday, May 25, 2009

Milk, Nixon dan Metanaratif Hollywood

Filem bertema politik sentiasa menjadi filem popular dan rujukan penting di Amerika Syarikat dan Barat, akibat wacana politik yang meluas di dunia sebelah sana dan liberalisme yang membenarkan, pada tahap tertentu, dunia budaya bergerak bebas tanpa dipengaruhi kuasa kerajaan.

Dan disebabkan dunia budaya popular dikuasai golongan liberal sosial, hampir tidak ada filem yang memenangkan golongan konservatif kecuali sebahagian besar filem "dasar luar" yang menunjukkan konsensus manifest destiny AS sebagai kuasa besar.

Richard Nixon misalnya, menjadi orang jahat kegemaran Hollywood, dan sentiasa dimunculkan sebagai personifikasi "kejahatan" Republikan.

Tahun lepas, dua filem politik besar muncul dan mendapat pujian meluas. Filem tersebut, Milk dan Frost/Nixon sememangnya filem yang cemerlang, dan pengkarya filem itu sendiri dengan jelas menunjukkan apa yang mahu disampaikan.

Milk filem meneruskan lagi wacana liberal di AS, yang meletakkan kebebasan individu di tempat yang tinggi. Seperti juga filem Juno sebelum ini, Milk muncul tepat pada masanya, ketika Barack Obama, Demokrat yang senang dengan kebebasan yang dituntut golongan gay muncul di pentas utama politik AS dan mendapat sambutan rock star.

Milk tiba pada masa sama meraikan kemunculan golongan liberal, menandakan kejatuhan pentadbiran konservatif George W Bush sebelum itu. Kemenangan Milk mendapat Anugerah Academi - diiringi sambutan pesta meriah di kawasan gay Daerah Castro di San Francisco - menambahkan lagi kebobotan filem ini.

Filem ini mengarusperdanakan lagi perjuangan gay dan memaksa perjuangan ini dilihat sebagai sebahagian perjuangan penting dalam politik AS, dan meletakkan filem gay sebagai antara yang terbaik dihasilkan Hollywood.

Pada masa sama, muncul juga Frost/Nixon, menceritakan dosa besar kelompok konservatif dalam politik AS. Seperti Milk yang meletakkan Harvey Milk sebagai hero, Frost/Nixon meletakkan Presiden Nixon sebagai villain.

Filem terbukti menjadi pemain penting dalam wacana politik di AS. Dan disebabkan pengaruh liberal ke atas industri filem, medium ini akan terus berperanan besar dalam mencorakkan debat sosio-politik di negara itu dan turut memberi kesan kepada seluruh dunia.

----------------------------------------

Pada 26 Mei, Mahkamah Agung Negeri California memutuskan Proposition 8 - yang mengharamkan perkahwinan sama jantina - yang mendapat sokongan majoriti pengundi California dikekalkan. Tetapi pada masa sama memutuskan mereka yang berkahwin sebelum pilihan raya tahun lalu kekal status mereka sebagai berkahwin.

Berikut petikan laporan awal keputusan mahkamah itu dari akhbar Los Angeles Times.

The California Supreme Court today upheld Proposition 8's ban on same-sex marriage but also ruled that gay couples who wed before the election will continue to be married under state law.

The decision virtually ensures another fight at the ballot box over marriage rights for gays. Gay rights activists say they may ask voters to repeal the marriage ban as early as next year, and opponents have pledged to fight any such effort. Proposition 8 passed with 52% of the vote.


Although the court split 6-1 on the constitutionality of Proposition 8, the justices were unanimous in deciding to keep intact the marriages of as many as 18,000 gay couples who exchanged vows before the election. The marriages began last June, after a 4-3 state high court ruling striking down the marriage ban last May.

In an opinion written by Chief Justice Ronald M. George, the state high court ruled today that the November initiative was not an illegal constitutional revision, as gay rights lawyers contended, nor unconstitutional because it took away an inalienable right, as Atty. Gen. Jerry Brown argued.

Only Justice Carlos R. Moreno, the court's sole Democrat, wanted Proposition 8 struck down as an illegal constitutional revision.

Justice Joyce L. Kennard, who voted with the majority last year to give gays marriage rights, joined George and the court's four other justices in voting to uphold Proposition 8.

The case for overturning the initiative was widely viewed as a long shot. Gay rights lawyers had no solid legal precedent on their side, and some of the court's earlier holdings on constitutional revisions mildly undercut their arguments.

But gay marriage advocates captured a wide array of support in the case, with civil rights groups, legal scholars and even some churches urging the court to overturn the measure. Supporters of the measure included many churches and religious organizations.

Labels: , , , , ,

Sunday, May 24, 2009

'Mesti Ulama untuk Sekat Musuh Islam" (2)

Amaran timbalan mursyidul am PAS, Datuk Dr Haron Din tentang penyusupan pengaruh asing dalam PAS mula mendapat perhatian media semalam, yang hanya memberi tumpuan pada amaran itu.

Kertas dibentangkan Haron setebal 13 muka surat menumpukan pada hubungan tuntutan perjuangan Islam dengan keperluan ulama memimpin parti dengan maksud individu digelar ulama perlu memegang jawatan-jawatan tertinggi. 

Beliau, selain memberi amaran kesan negatif kepada parti ekoran sesiapa sahaja termasuk yang bukan ulama boleh memenangi jawatan tertinggi parti juga pergi lebih jauh dengan mencadangkan maksud ulama didefinisikan secara rasmi untuk memenuhi maksud "kepimpinan ulama."

Beliau juga menggesa keputusan yang mengikat dihasilkan untuk memastikan kepimpinan ulama dilaksanakan. Menurutnya, ini "termasuk menetapkan portfolio-portfolio penting yang perlu dipegang oleh ulama."

Haron jelas bimbang terhadap pengaruh ulama yang dilihat merosot, terutama dalam menangani pertembungan dengan kumpulan Erdogan yang jauh lebih sofistikated dan asertif dalam menentukan tindakan dan sikap parti seperti yang dilihat menjelang 16 September tahun lalu.

Bagaimanapun, cadangan beliau seperti meletakkan syarat kelayakan berdasarkan portfolio ditandingi kelihatan wajar dilaksanakan, terutama melibatkan portfolio seperti penerangan dan portfolio lain yang memerlukan kepakaran khusus.

Tetapi, penentuan kelayakan ini mungkin sukar untuk ditetapkan berdasarkan kitab fiqh semata-mata seperti disarankannya. 

Dua cadangan Haron bakal menguatkan kuasa ulama dalam parti sekiranya dilaksanakan, iaitu: Semakan calon-calon pemilihan PAS oleh Majlis Syura, berdasarkan syarat "ahlul halli wal aqdi" dan "ahlul ikhtiar" dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang dilantik dalam muktamar hanya sah jawatan mereka selepas mendapat endorsement daripada Majlis Syura.


Sebenarnya, banyak jawatan dalam PAS memerlukan perbincangan yang mendalam untuk mengelakkan mereka yang tidak layak atau tidak mampu melaksanakan tugas dilantik. Semakan paling utama perlu untuk meletakkan individu berkepakaran tertentu di tempat yang sepatutnya, untuk menggerakkan jentera PAS yang perjuangnya bermula sejak sebelum merdeka lagi.

Parti - yang mempunyai sebuah pejabat agung, pelbagai dewan dan lajnah serta sebuah organisasi media yang berdaya maju dan berpotensi - perlu diuruskan dengan lebih baik oleh mereka yang layak. Selain meletakkan ulama sebagai pemimpin pada jawatan-jawatan tertentu, pemimpin-pemimpin perlu juga memberi lebih perhatian kepada keperluan organisasi parti ini.   

Labels: ,

Saturday, May 23, 2009

'Mesti Ulama untuk Sekat Musuh Islam'

"Heed not the blind eye, the echoing ear,nor yet the tongue, but bring this great debate the test of reason."

- Parmenides

Timbalan mursyidul am PAS, Datuk Dr Haron Din membuat kenyataan paling jelas dan mengejutkan dalam menegaskan perlunya ulama memegang jawatan tertinggi parti, iaitu presiden dan timbalan presiden.

Dalam ucapannya bertajuk Memperkukuh Kepimpinan Ulama dalam majlis sambutan jubli perak kepimpinan ulama PAS, Haron memberi amaran amalan membenarkan sesiapa sahaja bertanding boleh membenarkan "musuh dalam yang dirancang oleh musuh luaran berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti."

Ucapan berterus-terang ini mudah untuk dibaca sebagai ditujukan kepada kumpulan Erdogan yang dikatikan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kalangan ahli PAS kebanyakan, hujah utama menentang Erdogan ialah apa yang dilihat sebagai ketaatan mereka kepada Anwar, sesuatu yang bertentangan dengan konsep wala' yang ditekankan dalam pendidikan parti itu.

Haron menjelaskan lagi amarannya itu dengan menyebut keahlian yang terbuka parti berpotensi membuka kepada perancangan "Umno atau musuh luar negara" untuk meramaikan ahli dan memenangkan "musuh Islam yang sedang berada di dalam."

Menjelang muktamar kurang dua minggu lagi, ucapan ini dijangka bakal memberi kesan kepada pemilihan dan mengundang respons kuat daripada kem Erdogan.

Amaran terbuka ini juga dijangka meningkatkan lagi pertembungan antara dua kelompok besar, ulama dan Erdogan. Tetapi, kenyataan tentang "musuh Islam" dan "musuh luar" mampu mendatangkan kesan negatif kepada golongan ulama sendiri sekiranya amaran itu dilihat sebagai pembunuhan karakter menjelang pemilihan.

Cadangan Haron supaya calon pemilihan melalui penapisan seperti calon pilihan raya juga mungkin akan mendapat sambutan dingin kerana dilihat usaha menghalang tokoh-tertentu bukan ulama yang mendapat sokongan kuat ahli.

Ucapan Haron ini telah membuka fasa baru dalam persaingan kuasa dalam PAS. Tetapi, ucapan ini berpotensi juga menjadi double-edged sword kepada agenda kelompok ulama yang menyokong idea dua pemimpin tertinggi mesti dari kalangan ulama. 

Bagaimanapun, kem Erdogan kini menyaksikan tentangan yang semakin kuat terhadap mereka, dan dengan hujah-hujah yang lebih mudah sampai kepada ahli-ahli akar umbi.

Labels: ,

On War and the Duality of Man


"I think I was trying to suggest something about the duality of man, sir.

- Private Joker, Full Metal Jacket

Perang, sepanjang sejarah Amerika Syarikat menjadi satu bahagian paling penting negara itu. Sejak awal kedatangan pendatang Eropah hingga peristiwa besar serangan 11 September, 2001, perang sentiasa menjadi sesuatu yang dekat dengan jiwa rakyatnya.

Sejak Perang Saudara antara pihak prokesatuan dengan pihak selatan hingga "perang menentang terorisme," jiwa rakyat AS sangat terkesan dengan perang. AS kini menjadi negara yang paling memerlukan keamanan, memiliki rakyat yang paling bencikan kesukaran yang dibawa perang, tetapi pada masa sama paling mudah melancarkan dan menyokong perang.

Dan AS akan menyambut Hari Peringatan 25 Mei nanti, sebagai menghormati anggota tentera yang terkorban dalam perkhidmatan dalam mana-mana operasi tentera. Hari ini ialah antara hari cuti paling meriah, menandakan bermulanya musim panas.

Sebagai negara yang sangat dekat dengan peperangan, perang yang disertai sangat diingati dan didokumentasikan dalam pelbagai bentuk, termasuk filem. Dan filem perang yang dihasilkan karyawan negara itu menjadi antara filem terbaik sepanjang zaman, seperti Hearts and Minds, Platoon dan Full Metal Jacket.

Sepanjang sejarah filem AS, filem berlatar perang Vietnam kelihatan yang paling menarik dan realistik, mungkin disebabkan pada era itu, perang telah banyak menunjukkan kosnya, dan tujuan perang disertai tidak dilihat berkait secara langsung dengan sebahagian besar rakyat.

Filem perang jelas sekali tidak dapat dielakkan daripada propaganda. Industri filem menjadi sebahagian jentera besar AS, yang tidak dapat mengelakkan daripada bekerja untuk mencapai matlamat yang sama dengan cara yang berbeza.

Ini djelaskan dengan penubuhan pejabat perhubungan Hollywood di Pentagon, yang membolehkan Hollywood menerima bantuan peralatan atau nasihat dalam pembuatan filem perang mereka, dengan syarat filem itu memberi paparan "positif atau seimbang mengenai tentera AS," menurut seorang pegawai media Pentagon.

Disebabkan hubungan rapat Hollywood dengan jentera politik dan tentera AS, dunia menerima filem-filem seperti Rambo dan sebagainya, menceritakan perjuangan menentang "evil empire."

Bagaimanapun, filem yang menjadi rujukan utama perang seperti Hearts and Minds, Platoon dan
 
Full Metal Jacket mungkin tidak memenuhi semua kriteria Pentagon itu, tetapi berperanan penting sebagai artifak sosial yang merakamkan kisah perang dari pandangan mereka yang berada di medan tempur. 

Hearts and Minds, filem dokumentari pemenang Oscar memaparkan imej-imej yang sangat jelas, cerita langsung dari politikus dan tentera yang terlibat menggugurkan senjata ke atas warga Vietnam.

Filem Platoon pula, dihasilkan oleh pengarah yang pernah terlibat dalam perang di Vietnam, juga membwa imej-imej eksplisit perang yang menyaksikan tempoh ramai manusia tidak dapat bertindak seperti manusia bertamadun. 

Platoon juga membawa penderitaan rakyat Vietnam dengan lebih dekat, sesuatu yang juga berjaya disampaikan oleh Hearts and Minds melalui wawancara dengan seorang tentera.

Dua lagi filem perang Vietnam Oliver Stone, Born on the Fourth of July dan Heaven and Earthjuga memaparkan realiti brutal perang yang tidak berakhir di medan perang Vietnam.

Satu elemen menarik mendasari filem ini dan menerangkan emosi pengarahnya ialah lagu The Tracks of My Tears yang menjadi latar filem ini. Lagu ini telah menyempurnakan filem ini dengan memasukkan satu emosi yang sukar disampaikan melalui cara lain.

Hal yang sama dilihat dalam Full Metal Jacket, apabila tentera-tentera marin itu menyanyikan lagu Mickey Mouse selepas selesai satu operasi. Dalam satu adegan yang lucu sekiranya dilihat pada permukaan, peminat dan pengulas filem memberikan pelbagai interpretasi menarik mengenai adegan itu. 

Full Metal Jacket juga membawa paparan kompleksiti manusia dengan mendalam melalui watak Joker, yang berdepan cabaran menangani idealismenya dan keperluan bertindak sebagai seorang anggota marin. Joker menjadi wartawan untuk akhbar tentera Stars and Stripes, tetapi tidak dapat mengelak daripada hanya menjadi seorang wartawan, seperti juga menunjukkan belas kasihan dengan membunuh seorang tentera remaja yang cedra parah ditembak.

Hampir semua filem mengenai perang itu menunjukkan bagaimana medan perang menjadi medan anggota tentera terbabit, yang tidak punya apa-apa di negara mereka sendiri, memiliki kuasa luar biasa untuk membunuh sesiapa sahaja, dan kepada mereka yang dari etnik minoriti, menunjukkan sikap perkauman kepada penduduk tempatan. 

Tiga filem perang Vietnam Hollywood ini, pada pandangan saya ialah filem perang terbaik dihasilkan industri filem itu. Tanpa propaganda telanjang seperti banyak filem mengenai Perang Dunia Kedua dan filem anti-Soviet Sinema Reagan, filem merakamkan perang itu - dan tempoh penting dalam sejarah AS - berjaya menjadi filem yang mempersembahkan lebih daripada satu dimensi peperangan.

Labels: , , , ,

Friday, May 15, 2009

Filem 'Pembina Negara Bangsa' 3 Dekad

Filem tentang guru seingat saya, sentiasa menjadi filem yang popular dan berjaya muncul sebagai antara karya yang mentakrifkan zaman kemunculannya.

Seperti Half Nelson (2006), yang mempersembahkan dokumentasi sisi-sisi kurang popular sejarah Amerika Syarikat, dan kehidupan sukar seorang individu liberal idealistik.

Pengkarya filem ini menyifatkan paparan filem ini sebagai "raw" dan "immediate," dengan bentuk filem yang menyerupai dokumentari.

Half Nelson pada saya filem tentang guru yang boleh sahaja menjadi filem tentang sesiapa sahaja yang mengambil peranan sebesar itu, dan pada masa sama terpaksa menghadapi kesukaran hidup sendiri.

Pada zaman yang tiada lagi hero superhuman dan cerita hitam-putih, Half Nelson menepati arus ini, mempamerkan watak utamanya, Dann Dunne, dengan jujur, dengan segala kekurangannya, tetapi mungkin menimbulkan lebih rasa kagum dengan profesyen guru seperti itu (yang tidak terlibat dengan jualan langsung dan berdepan konflik kepentingan kerana mempromosi pusat tuisyen kepada murid-muridnya).

Mr Holland's Opus (1995) menjadi salah satu filem paling popular semasa kemunculannya. Watak Glenn Holland dalam filem ini bukan sahaja memberikan pendidikan, tetapi juga, melalui pengalamannya di sekolah dan dalam kehidupan peribadi, mendapat pengajaran yang penting.

Filem ini jelas sekali satu tearjerker, mengandungi banyak adegan-adegan dan cerita sangat emosional, seperti kisah anak Holland yang pekak dan sambutan bekas murid-murid Holland pada akhir cerita.

Filem ini menepati suasana agak gembira tahun-tahun 1990-an, tetapi pada masa sama turut melemparkan kritikan terhadap masalah-masalah dalam pentadbiran pendidikan, yang menyaksikan pendidikan muzik sentiasa menjadi yang paling boleh dikorbankan.

Apapun, seperti seorang reluctant hero, Holland melalui semua itu, dan diangkat ketika minat dan semangatnya terhadap kerja semakin pudar.

Filem The Breakfast Club 1985) mungkin yang menunjukkan imej guru yang paling tidak cool, sekurang-kurangnya kepada budak-budak terpinggir/nakal yang terpaksa menghabiskan satu masa yang panjang dalam tahanan di sekolah.

Pada zaman agung sinema bertema konservatif menguasai Hollywood (seperti Rambo dan Kramer vs Kramer), The Breakfast Club muncul dengan seorang guru konservatif, menjadi figur autoriti yang kelihatan agak dikarikaturkan.

The Breakfast Club, dengan wacana golongan terpinggirnya, mungkin menarik minat peminat kultusnya hanya kerana sebab itu. Filem ini masih berpengaruh hingga hari ini, dan menjadi satu ikon filem sekolah.

Bagaimanapun, filem ini ialah filem remaja, yang meraikan individuality remaja, memenangkan remaja dan mempersembahkan guru dan orang dewasa sebagai villain.


Labels: , , ,

Thursday, May 14, 2009

Rage Against the Idiots

Selepas 15 tahun Dookie, album pertama yang meletakkan Green Day sebagai band punk rock ulung, band ini muncul lagi dengan album yang menurut ulasan di Rolling Stone, masih penuh dengan unsur politik, seperti album sebelumnya, American Idiot.

Punk seperti yang diketahui hari ini lahir dalam latar politik yang kelam dan meletihkan di tanah Inggeris, ketika empayar Inggeris mula susut kuasanya, dan di Amerika Syarikat selepas perang di Asia, terutama Vietnam yang mendatangkan kesan mendalam.

Bagi Green Day, latar politik juga memberikan kesan yang besar kepada album-album terbarunya. Kehidupan pada era George W Bush, dengan apa yang disifatkan sebagai "Redneck agenda" kelompoknya, tidak memungkinkan Green Day untuk tidak mencatatkan kritikan terhadap realiti pada masanya.

Dunia budaya popular hari ini penuh dengan politik, dan rujukan terhadap politik kelihatan menjadi semakin penting untuk dijadikan selling point, dan dalam banyak hal, rujukan politik ini membantu memeriahkan dan meluaskan wacana politik, seperti halnya isu pilihan raya presiden AS yang menjadi topik utama dan penting rancangan-rancangan hiburan seperti Saturday Night Live dan The Daily Show.

Populariti politik dalam budaya popular ini mungkin satu sumbangan besar Bush. Budaya popular mengerahkan tenaga untuk mengkritik dan mempersenda beliau. Tapi, seluruh dua penggal Bush jauh ketinggalan dengan hanya beberapa hari Barack Obama, yang menjadi politik dan budaya popular sekaligus.



Labels: , ,