Perang Dingin dan legasi Pope John Paul II

Budaya popular, melalui novel dan filem The Da Vinci Code telah mengheret Pope dan seluruh pemimpin Katolik ke perhatian umum dengan kisah konspirasi Vatican dan Opus Dei. Dalam sebuah filem Oliver Stone pula, Salvador, ketua Katolik El Salvador dipaparkan dengan dramatik pembunuhannya oleh kumpulan berhaluan kanan. Paparan dalam budaya popular ini bagaimanapun bukan kisah sensasi semata. Vatican mempunyai hubungan akrab dengan Washington. Kontroversi melanda Vatican hari ini ada kaitan dengan hubungan baik Vatican dengan elit kuasa besar dunia.
Pope John Paul II, semasa hayatnya pernah dikritik akibat hubungan baiknya dengan sebuah kumpulan rahsia Katolik, Opus Dei dan pengasasnya Josemaria Escriva. Dalam novel terkenal yang mencetus kontroversi oleh Dan Brown, The Da Vinci Code, kumpulan rahsia itu dikemukakan sebagai sekelompok elit yang berpengaruh dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memelihara kedudukannya, termasuk membunuh.
Kini, di tengah–tengah kekecohan akibat The Da Vinci Code yang telah pun difilemkan dan selepas dua tahun kematian John Paul II, kontroversi Opus Dei bukan satu–satunya isu yang menjadikan Vatican sasaran kritikan dan mengaitkan papasi dengan pembunuhan.
John Paul II, yang memegang jawatan Pope sejak 1978, sangat dikenali dengan peranannya menentang komunis di negara kelahiranya Poland, sejak sebelum beliau diangkat sebagai Pontif. Di Amerika Syarikat (AS), dapat diperhatikan beliau diangkat sebagai wira atau sekurang–kurangnya berperanan penting dalam kejatuhan komunisme di Poland. Peranan beliau itu sering dikemukakan sebagai peristiwa penting yang melonjakkan kedudukannya, yang ketika itu dikenali sebagai Karol Jozef Wojtyla.
Ketika era Perang Dingin di antara AS dan Rusia, John Paul II berperanan besar sehingga disebut bahawa Perang Dingin dimenangi oleh Ronald Reagan, Margaret Thatcher dan John Paul II. Pakatan ini telah memperlihatkan dengan jelas kaitan Vatican dengan politik. John Paul II juga dianugerahkan Pingat Kebebasan, anugerah awam tertinggi AS oleh Presiden George W Bush kerana peranannya meruntuhkan komunisme.
Satu pencetus hubungan baik AS dengan Pope ialah pertemuan beliau (ketika itu belum menjadi Pope) dengan Zbigniew Brzezinski – yang juga berasal dari Poland – di Universiti Harvard pada 1976. Dalam pertemuan itu, Brzezinski yang kagum dengan khutbah diberikan paderi dari Poland itu menjemput beliau berbincang dalam satu pertemuan. Bermula daripada pertemuan itu, kerajaan AS yang ketika itu dipimpin Presiden Jimmy Carter mendapat seorang sekutu penting dan membentuk pakatan yang dikatakan telah mengubah perjalanan Perang Dingin.
Sejak itu, AS mendapat satu wajah agama untuk berdepan dengan komunisme. Kedudukan Pope sebagai anak Poland mengukuhkan pengaruh beliau di Eropah Timur yang pada ketika itu condong ke Kesatuan Soviet. Katolik di Eropah Timur mendapat restu Pope melalui lawatan pemimpin dunia Katolik itu ke sana. Sedikit demi sedikit, pengaruh komunis diperangi dan sentimen agama diperkukuhkan untuk memerangi komunisme. Hubungan rapat John Paul II dengan Washington bukan sahaja berjaya mematahkan pengaruh komunisme Kesatuan Soviet, tetapi bakal membawa satu implikasi moral yang sangat besar kepada pemimpin Katolik itu.
Selepas kejatuhan komunisme di Rusia dan Eropah Timur, pengaruh Pope semakin kuat dan meluas, walaupun sebahagia besar Eropah yang agak liberal itu semakin menjauhkan diri daripada agama Kristian. Pendirian konservatif John Paul II terlihat dengan jelas semasa beliau menangani isu Kesatuan Eropah (EU).
Turki, sebuah negara majoriti Muslim yang menjadi penghubung dunia Muslim dengan Eropah memohon untuk diterima sebagai ahli EU. Kumpulan behaluan kanan dan Kristian di Eropah menentang sekeras–kerasnya kemasukan Turki atas banyak sebab. Pembunuhan bangsa Armenia yang mencemarkan sejarah Turki juga dijadikan satu hujah menentang kemasukan Turki.
John Paul II dalam satu kenyataannya menunjukkan beliau menyedari pengaruh Turki apabila menegaskan bahawa agama Kristian hendaklah menjadi asas EU, mengukuhkan lagi sentimen “kelab Kristian” kesatuan itu. Kenyataan beliau itu memberi sokongan kepada beberapa negara Katolik seperti Ireland, Malta dan Poland untuk lebih lantang menolak keanggotaan Turki. Sentimen yang disokong John Paul II ini juga jelas kelihatan semasa draf perlembagaan EU diusahakan. Pegawai–pegawai Vatican melobi penggubal–penggubal undang–undang EU untuk memastikan pengukuhan kelab Eropah.
Pandangan beliau turut dikongsi oleh Cardinal Joseph Ratzinger yang kemudian menggantikan John Paul II sebagai Pontif dan dikenali sebagai Pope Benedict XVI. Dalam satu wawancara dengan akhbar Perancis, Le Figaro, Ratzinger menjelaskan Turki tidak wajar cuba memperolehi keahlian EU kerana ia tidak memiliki “akar Kristian.” Pandangan ultrakonservatif ini dapat dikaitkan dengan John Paul II. Vatican di bawah beliau menjadi semakin konservatif dan beliau dikatakan berusaha memastikan konservatisme terus kukuh di Vatican.Sikap Vatican pimpinan John Paul II ini membawa implikasi kepada hubungan Krisitan–Islam. Beliau telah secara tidak langsung mengukuhkan sentimen anti–Muslim dan anti–Islam dalam suasana pasca–11 September yang sememangnya telah dikuasai sentimen anti–Muslim.
Hubungan beliau dengan AS sejak peringkat awal Perang Dingin juga mendatangkan implikasi besar kepada beliau yang memegang peranan sebagai ketua agama. Selain memerangi komunisme Soviet, Washington juga melaksanakan dasar luar yang bertentangan dengan aspirasi warga Amerika Latin.
Washington memberi sokongan kepada kumpulan berhaluan kanan di Amerika Latin. Sokongan AS ini membawa kepada konflik yang mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa, demi memastikan pemerintahan kerajaan–kerajaan pro–AS. Akibat hubungan baik John Paul dengan Washington, Katolik di Amerika Latin tidak mendapat sokongan daripada pemimpin tertingginya itu.
Suasana cengkaman autoritarian di Amerika Latin telah mendorong populariti Teologi Pembebasan, aliran pemikiran baru teologi Katolik. Teologi Pembebasan dicirikan melalui perspektif kaum tertindas dan miskin terhadap kitab Perjanjian Baru yang memberi penekanan kepada aktivisme demokrasi rakyat, hak asasi manusia, dan keadilan sosial. Teologi Pembebasan disifatkan sesetengah pihak sebagai sosialisme Kristian. Oleh kerana popularitinya di Amerika Latin, perlaksanaannya hampir dengan fahaman Marxist.Kekejaman terhadap penduduk Amerika Latin ini tidak mendapat pembelaan John Paul II seperti mana beliau menentang komunisme bersama rakyat Eropah Timur ketika Perang Dingin. Ini paling jelas dilihat melalui pertembungan Vatican dengan Oscar Romero, seorang ketua paderi Katolik di El Salvador, salah sebuah negara Amerika Latin yang menjadi mangsa percaturan politik AS. Tentangan beliau terhadap komunisme telah mendorong beliau bersikap kritikal terhadap politik berhaluan kiri kaum tertindas di Amerika Latin, dan membawa penentangan terhadap komunisme itu ke satu tahap lebih tinggi, sekaligus mengetepikan mesej utama ajaran Isa a.s.
Beliau sendiri pernah mengecam kepimpinan gereja Katolik di Nicaragua yang cenderung menyokong kumpulan gerila Sandinista, kumpulan berhaluan kiri yang dimusuhi sekutunya Washington, yang jelas dilihat semasa pentadbiran Reagan. John Paul II bersikap agresif terhadap Teologi Pembebasan dan telah mengarahkan Ratzinger meneruskan tentangan terhadap aliran itu.
Vatican menyamakan Teologi Pembebasan dengan fahaman Marxisme. Tentangan terhadap kepimpinan Katolik Amerika Latin ini juga memperlihatkan sikap John Paul II yang tidak menerima tafsiran lain ajaran Katolik selain yang bersumber Vatican. Penentangan terhadap Teologi Pembebasan yang dikaitkan dengan Marxisme juga mendedahkan sikap politik Vatican yang menyebelahi kuasa besar Barat dan mengetepikan pembelaan kaum tertindas. Sentimen agama John Paul II menyebabkan beliau melihat Marxisme sebagai ancaman kepada ajaran Katolik. Disebabkan perspektif Perang Dingin ini, beliau tidak melihat kekejaman AS terhadap Amerika Latin.
Kedua–dua pihak menyedari apa yang ditentang pendukung Teologi Pembebasan di Amerika Latin. Disebabkan inilah Reagan memanfaatkan hubungan baiknya dengan Vatican. Kumpulan kempen Reagan pernah mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa dasar luar AS perlu menentang Teologi Pembebasan kerana “kuasa Marxist–Leninist telah mempergunakan gereja sebagai senjata” menentang sistem kapitalisme dan menyerapkan komuniti agama dengan ajaran yang lebih berbaur komunis daripada Kristian.
Pakatan Reagan dengan John Paul II akhirnya mengorbankan nyawa. Ketika Vatican meningkatkan serangan terhadap Teologi Pembebasan, Reagan dan sekutunya kumpulan militan sayap kanan di Amerika Latin membunuh penentang kumpulan yang direstui Washington. Dan antara mangsanya ialah Oscar Romero yang dibunuh kumpulan sayap kanan pada 24 Mac, 1980 ketika melakukan upacara keagamaan di gereja.
Romero berdepan cabaran hebat dalam usahanya menentang kekejaman kumpulan sayap kanan tajaan Washington yang menguasai El Salvador. Beliau bukan sahaja menghadapi Reagan dan sekutunya tetapi juga alat politik Washington, Vatican, yang masih enggan mengiktiraf beliau sebagai tokoh Katolik hingga hari ini.
Ketika konflik berdarah yang melanda El Salvador, Romero menjelang akhir hayatnya hanya mampu berkhutbah kepada rakyat negara itu yang menentang pemerintah sayap kanan. Beliau pada mulanya melalui khutbah mingguannya hanya mengajak semua bersabar, tetapi akhirnya bertindak lebih berani lagi apabila mengajak pihak tentera menentang arahan yang bertentangan dengan ajaran agama. Romero akibat tindakannya ini dipandang mulia warga Katolik dan pengikut berhaluan kiri El Salvador.
Melihatkan keganasan yang melanda negaranya, Romero, dua bulan sebelum dibunuh, telah menulis surat kepada Presiden Carter, sekutu John Paul II meminta agar Washington menghentikan daripada memberi bantuan ketenteraan kepada pemerintah El Salvador kerana peralatan tentera itu membunuh ramai rakyat negara itu. Rayuan beliau tidak dipedulikan pentadbiran Carter.
Jelas sekali Vatican pimpinan John Paul II gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin dunia Katolik apabila mengabaikan satu jumlah besar warga Katolik Amerika Latin yang menjadi mangsa dasar luar AS. Pakatan Perang Dingin John Paul II dengan pemerintah AS telah menguasai sikap politik beliau dan seluruh Vatican.
Konservatisme – yang diperlihatkan melalui hubungan dunia Kristian dengan Islam – kini semakin kukuh di Vatican hasil daripada sikap John Paul II. Katolik yang masih kuat di Eropah tidak dapat dielakkan akan melihat ke Vatican dalam menentukan pendirian dalam banyak hal, termasuk terhadap penduduk Muslim Eropah dan dasar terhadap dunia Muslim termasuk Turki. Ketika dunia dilanda ketegangan antara kuasa besar AS dengan dunia Muslim akibat sikap dan dasar yang menyeleweng, tidak kedengaran suara lantang Vatican menentang kuasa politik yang mengetuai agenda itu.
Pemusatan kuasa Vatican akhirnya mendatangkan masalah kepada ajaran Katolik sendiri, seperti yang diperlihatkan dengan jelas melalui pertembungan dengan Teologi Pembebasan. Sejumlah besar penganut Katolik menjadi mangsa permainan politik kepimpinan Katolik dunia. Sangat jelas di sini, Vatican ingin mengekalkan kuasanya dalam ajaran Katolik tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin agama umatnya. Perhatian yang lebih telah diberikan kepada agama berdasarkan maksudnya yang sempit dan mengabaikan masalah asas umatnya.
Mungkin disebabkan kemelut kuasa, ajaran Katolik semakin kehilangan ramai pengikut yang banyak beralih kepada agama lain termasuk Islam. Kepimpinan dan institusi papasi seperti yang wujud dalam dunia Katolik ini tidak dapat dielakkan akan membawa kepada permainan kuasa yang merugikan pengikut agama tersebut. Kuasa hampir pasti tidak akan mematuhi tuntutan lain selain mengukuhkan kedudukannya sendiri.
Kemelut dihadapi dunia Katolik ini menyediakan satu pengajaran penting kepada agama lain, termasuk Islam. Kuasa yang dipusatkan dan diinstitusikan cenderung untuk mengetepikan tanggungjawab sebenar kepada pengikutnya. Pengukuhan kuasa mentafsir diperkukuhkan manakala tanggungjawab diabaikan kerana keperluan mengekalkan kuasa.
Ini kemudian mendorong autoriti agama bercakap dalam bahasa kuasa, seperti juga pemegang kuasa politik yang menguasainya, dan lebih buruk lagi sekiranya agama itu sendiri menjadi alat kuasa politik. Elit kuasa ini akan cenderung untuk memelihara kuasa dan mengabaikan kepentingan umat terbanyak. Autoriti agama yang menjadi pemegang monopoli tafsiran agama tidak terelak daripada memelihara kuasanya sendiri, sama ada secara sedar atau tidak. Akhirnya, institusi itu dan segala pandangannya dilihat sebagai agama itu sendiri.
Dalam kes pertembungan Vatican dengan Teologi Pembebasan, dapat dilihat bahawa tafsiran oleh kuasa di Vatican mengatasi segalanya, sehingga mendorong pemegang kuasa agama mengabaikan penindasan. Hubungan baik dengan kuasa Barat kelihatan menjadi satu–satunya yang dipelihara Vatican. Ini menunjukkan bagaimana penguasa agama sedia berada di bawah kuasa politik dan membiarkan politik menentukan tindakan.
Akibatnya, institusi agama tidak melaksanakan tanggungjawab mengkritik pihak yang berkuasa disebabkan hubungan baik kedua–dua pihak. Akhirnya, politik permainan kuasa akan menguasai dan mendominasi tafsiran ajaran agama.

















