China Mencari Ruang Pengaruh Baru

Enam bulan lalu, China yang sedang mengembangkan pengaruhnya menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai, pertubuhan yang dibentuk untuk melaksanakan dasar luar China dan mempastikan keselamatan bekalan tenaganya.
Awal November ini, China sekali lagi menghimpunkan sekumpulan negara yang berpotensi memenuhi kepentingan dasar luar dan keperluan tenaganya apabila menjadi tuan rumah Forum Kerjasama China-Afrika di Beijing.
Kedua-dua pertemuan telah memperlihatkan kesediaan China yang menduduki kerusi tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil peranan sebagai kuasa besar. Dalam kedua-dua pertemuan itu, China didakwa membina hubungan dengan negara-negara pimpinan diktator.
Suatu ketika dulu, di bawah pimpinan Mao Zedong, sosialisme menjadi asas hubungan China dengan Afrika. Hari ini, selepas lama meningalkan Afrika, China kembali ke benua itu dan kapitalisme mendominasi agendanya di Afrika.
Jika diperhatikan daripada angka yang menjelaskan pertemuan itu, China jelas sekali mula meletakkan asas untuk menjadikan Afrika yang merasakan dirinya dipinggirkan oleh Barat dalam ruang pengaruhnya. Dalam forum selama tiga hari itu, 48 daripada kesemua 53 negara di benua Afrika hadir, melibatkan 40 ketua negara dalam 1,700 delegasi rasmi, dan 16 pelaburan bernilai AS$1.9 bilion ditandatangani. Presiden China, Hu Jintao menjanjikan pinjaman bernilai AS$5 bilion untuk tempoh tiga tahun akan datang dan peningkatan bantuan sebanyak dua kali ganda kepada Afrika.
Perdana Menteri China Wen Jiabao pula menjangkakan perdagangan antara China dengan Afrika akan mencapai AS$100 bilion menjelang 2010. Tahun lalu, perdagangan China-Afrika telah pun mencapai nilai AS$42 bilion.
Pertemuan terbesar dan pertama kali seumpamanya dalam sejarah China ini hampir mempastikan sokongan politik di peringkat antarabangsa dalam usahanya mencapai kepentingan dan mengimbangi kuasa Amerika Syarikat dan Barat, terutama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. China sejak beberapa tahun ini telah mengambil kesempatan daripada prioriti dasar luar Washington yang ditumpukan pada usaha "memerangi terorisme" berikutan peristiwa serangan 11 September, 2001.
Negara-negara Afrika menawarkan pelbagai sumber mineral selain minyak dan gas yang menjadi satu matlamat utama China hari ini. Pembangunan pesat China menjadikan negara Asia itu bergantung pada sumber minyak luar, sehingga menurut sesetengah perkiraan, China bertanggungjawab meningkatkan harga komoditi itu di pasaran dunia.
Benua itu juga memerlukan pelaburan asing untuk membangunkan sektor tenaganya dan juga meningkatkan insfrastruktur serta meningkatkan kemempuan ketenteraan. China mampu untuk menawarkan semua ini, selain mampu memberikan perlindungan politik dan bantuan tanpa syarat seperti ketelusan yang diberikan agensi dikuasai Barat seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarbangsa. Pemberian bantuan sebagai instrumen politik ini telah pun dijalankan di Asia Tengah dan Asia Tenggara.
Akibatnya Beijing kini menjadi pencabar kepada Bank Dunia dan IMF. Memandangkan sebahagian besar negara yang mengharapkan bantuan China sukar untuk memenuhi tuntutan Barat seperti demokrasi dan ketelusan perbelanjaan bantuan tersebut, bantuan dari China menjadi lebih menarik.
China juga mengambil kesempatan daripada peminggiran negara seperti Sudan oleh Barat, terbaru akibat isu Darfur. Pelaburan syarikat minyak milik negara China menjadi satu penghubung penting antara kedua-dua negara. China semakin memerlukan lebih banyak bekalan minyak dari Sudan. Tahun lalu, China mengimport hampir separuh produksi minyak Sudan.
Dalamm hal Sudan, China dituduh melindungi rejim yang melakukan genosid, tetapi Beijing menolak ada berlaku genosid di Sudan. Tindakan terhadap Khartoum juga sukar disebabkan perlindungan Beijing di Majlis Keselamatan.
Barat mengecam tindakan China berurusniaga dengan rejim yang didakwa mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk dan menghulurkan perlindungan kepada mereka. Menurut Beijing, ia mengamalkan dasar memisahkan politik daripada bisnes walaupun memang diketahui kedua-dua bidang ini tidak dapat dipisahkan, terutama dalam sektor tenaga. China pasti mengharapkan hubungan politik dapat ditingkatkan, sebagai balasan bantuan dan pelaburan berbilion dolar China.
Dasar China ini mungkin akan menyediakan perlindungan kepada diktator di rantau itu dan memperlahankan perubahan ke arah demokrasi dan mendesak kerajaan rantau itu menghormati hak asasi manusia. Bagaimanapun, usaha ini juga mungkin membantu meningkatkan bekalan minyak di pasaran global dan menstabilkan harga, serta membawa pembangunan di Afrika yang telah lama diabaikan. Kepentingan China juga sekurang-kurangnya mampu bertindak sebagai pengimbang kuasa AS, seperti yang dilihat dalam kes Sudan.
Peningkatan keperluan tenaga China dan kesukaran memasuki Timur Tengah yang di bawah pengaruh AS menjadi satu faktor yang mendorong China beralih ke Afrika. China tersingkir daripada membangunkan industri minyak Iraq berikutan penaklukan AS ke atas negara itu.
Peristiwa itu menjadi satu titik mula usaha lebih agresif China mencari sumber tenaga di luar Timur Tengah. Perebutan sumber Afrikaoleh kuasa besar ini juga mampu mendatangkan manfaat kepada negara terbabit, dengan meningkatkan kepentingannya di persada antarabangsa.










