Politik Pop

Wednesday, October 01, 2008

Politik Kuasa Besar di Laut Hitam


Konflik Rusia dengan Georgia Ogos lalu kini semakin dirasakan kesannya di negara-negara berhampiran, dengan masing-masing menilai implikasi pertempuran tersebut, dan menyusun langkah bertindak seterusnya.

Turki ialah antara negara paling terkesan akibat konflik tersebut, disebabkan kedudukannya sebagai negara yang menguasai Laut Hitam melalui satu perjanjian lama, Konvensyen Montreux 1936 yang mengiktiraf laut itu sebagai domain Turki, pewaris empayar Uthmaniyah dan menghadkan jumlah dan tempoh kapal negara lain memasuki Laut Hitam. Wilayah Turki ialah laluan masuk ke Laut Hitam, hakikat yang menyebabkan Turki menerima kesan langsung daripada persaingan Rusia dengan AS.

Sebagai reaksi kepada Rusia, Amerika Syarikat menghantar kapal perangnya memasuki Laut Hitam untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada Georgia, sebagai alasan untuk menyampaikan mesej kepada Rusia bahawa Rusia bukan satu-satunya kuasa tentera di Laut Hitam.

Dua kapal perang tentera laut AS memasuki Laut Hitam dan berlabuh di pelabuhan Georgia, dilaporkan tanpa mengikut peraturan meminta kebenaran daripada Turki dalam tempoh ditetapkan.

AS menghantar dua kapal perang ke Georgia, USS McFaul dan USS Mount Whitney, memberikan tanda konfrontasi walaupun hanya menyampaikan bantuan kemanusiaan.


Hal ini juga menyebabkan berlaku pergeseran melibatkan Washington dengan Ankara. Turki mahu berhati-hati agar tidak menyinggung Rusia tetapi tidak mampu menolak terus permintaan AS.

Akibatnya, kini Ankara terpaksa mengimbangi dua kuasa politik dunia yang menggunakan Laut Hitam sebagai medan persaingan mereka, iaitu Rusia dan AS. Tidak lama dulu, Rusia bertindak balas mengharamkan eksport barangan Turki, dilihat sebagai tindak balas terhadap tindakan Turki membenarkan kapal perang AS melalui selatnya dan memasuki Laut Hitam.

Rusia juga memerhatikan kehadiran kapal-kapal perang Nato ke Laut Hitam pada masa yang sama untuk satu latihan. Kehadiran kapal-kapal perang banyak negara di laut itu juga pada masa kritikal ini berupaya mengundang risiko konflik.

Jika terjadi sesuatu yang di luar jangka, konflik boleh tercetus dan menjadikan politik Laut Hitam lebih kompleks.

Rusia juga bagaimanapun menggunakan saluran diplomasi, apabila menteri luar negara itu, Sergei Lavrov mengadakan kunjungan ke Turki sebagai usaha mempengaruhi Turki yang turut menerima tekanan AS yang melihat Konvensyen Montreux tidak menyebelahi kepentingannya.

Kedua-dua Turki dan Rusia menyedari kepentingan menghadkan akses negara lain kepada Laut Hitam. Rusia melihat pengaruhnya di Laut Hitam semakin terancam selepas Ukraine berpihak kepada Barat dan negara-negara pesisir laut tersebut, Bulgaria dan Romania, menjadi ahli Nato.

Perjanjian penempatan tentera laut Rusia di Sevastopol, di Crimea, Ukraine akan tamat pada 2017 nanti, mendatangkan satu situasi sukar kepada Rusia. Vladimir Putin semasa memegang jawatan presiden pernah menawarkan "perlindungan" kepada Ukraine sebagai balasan melanjutkan perjanjian penempatan tentera laut Rusia itu.

Tanpa Sevastopol, Rusia terpaksa membina sebuah pangkalan tentera laut baru, yang akan menelas kos besar dan berkedudukan kurang strategik berbanding Crimea yang sememangnya bersifat Rusia, disebabkan hubungan sejarah sejak era Soviet.

Hal ini menunjukkan pentingnya Ukraine kepada Rusia, disebabkan kedudukannya yang strategik di antara Eropah dengan Rusia dan mempunyai pantai Laut Hitam yang panjang.

Turki terpaksa berdepan tuntutan sekutu Natonya, AS dan negara yang berkongsi kepentingan untuk memelihara Laut Hitam daripada pengaruh luar, Rusia. Apa pun, peningkatan percaturan politik AS dengan Rusia mampu melemahkan pengaruh Turki terhadap Laut Hitam disebabkan tekanan dua kuasa besar tersebut. - 23 September, 2008





Labels: , , ,

1 Comments:

  • Russia must rise again to check America. It is so much imbalance now in the world affair because of US domination.

    By Blogger Syamsulfaiz, at 1:36 PM  

Post a Comment

<< Home